Warisan-Boria...Omara. Powered by Blogger.
RSS

Keratan Akhbar Bernama: Festival Boria 1Malaysia Disertai 1,000 Peserta Pelbagai Kaum

GEORGE TOWN, 21 Mac (Bernama) -- Festival Boria 1Malaysia yang akan diadakan pada 28 April hingga 1 Mei ini akan disertai 1,000 peserta daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli berkata kesemua peserta melibatkan 58 kumpulan yang telah mendaftar bagi tiga kategori iaitu kanak-kanak, remaja dan terbuka.

"Festival yang diadakan di Kampung Seronok, Bayan Lepas itu adalah anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan ia bertujuan untuk menghidupkan kembali kebudayaan masyarakat Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Katanya sempena festival itu juga, 2,500 penggiat boria akan mencatat rekod Malaysia Book Of Records untuk persembahan boria yang dianggotai peserta paling ramai di dunia.

Pertandingan boria itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih RM28,000 bagi pelbagai kategori termasuk hadiah untuk sketsa terbaik dan kostum terbaik.

Hadiah akan disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Boria adalah sejenis teater tradisi yang popular di Pulau Pinang dan bertapak sejak abad ke-19 mempunyai pengisian dua segmen iaitu sketsa yang mengandungi mesej nasihat dan berunsur humor serta segmen nyanyian dan tarian.


Bernama--

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment